SELEPAS Ketua Pemuda Pas Afnam Hamimi Taib Azamudden menggesa supaya Pas menerajui Perikatan Nasional (PN), hari ini Pemuda Pas Selangor turut membuat gesaan yang sama.
Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata,sudah tiba masanya Pas Pusat mengambil tampuk kepimpinan PN demi menyelamatkan perjuangan di peringkat nasional.
‘’Bersatu telah hilang maruah dan prinsip mereka. Bersatu telah khianat dan sedang membawa PN ke arah kehancuran, ‘’ katanya dalam kenyataan.
Sehubungan beliau berkata, Pemuda Pas Selangor kecewa dengan kenyataan Ketua Penerangan ARMADA Bersatu, Harris Idaham Rashid yang secara terang-terangan menafikan krisis besar dalam PN khususnya pasca isu menteri besar Perlis.
‘’Kenyataan ARMADA Bersatu yang seolah-olah dalam sindrom penafian ini hanya melukakan lagi keadaan ibarat mencurahkan garam ke atas luka yang sedang membarah.
”ARMADA Bersatu sepatutnya menerima hakikat bahawa Bersatu telah melanggar garis merah dalam persahabatan kita di dalam Perikatan Nasional dan mengambil tindakan dengan mendesak pucuk pimpinan Bersatu agar segera mengakui kesilapan dan ambil tindakan secara terhormat dalam kadar yang segera.
‘’Menafikan pengkhianatan yang berlaku secara terbuka ini hanyalah akan membuatkan pendukung Pas di seluruh negara kecewa, marah dan berpatah arang berkerat rotan dengan Bersatu,’’ tegasnya.
Beliau berkata, ARMADA Bersatu tidak boleh berpura-pura naif dengan krisis dalaman ini kerana hakikatnya Bersatu telah menjadi bidak catur sebahagian pihak sehingga berjaya merealisasikan punca berlakunya ketidakstabilan dalam PN.


