AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat menggagalkan cubaan menyeludup masuk kira-kira enam tan bijih timah bernilai RM600,000 selepas menahan sebuah bot barter trade dari Indonesia, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, bot itu ditahan kira-kira 0.1 batu nautika barat daya Pulau Sialu di Batu Pahat kira-kira jam 3 pagi, ketika pasukannya menjalankan operasi rondaan penguatkuasaan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, tiga kru terdiri daripada seorang tekong dan dua awak-awak warga Indonesia berusia antara 33 hingga 59 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 120 guni berisi bijih timah dengan anggaran berat keseluruhan 6,000 kilogram dan mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

“Perintah penahanan awal juga telah dikeluarkan terhadap bot terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Zaini berkata, bot berserta muatan bijih timah dan kru, kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.


