Empat ADUN Bersatu akan dilantik Exco Kerajaan Negeri – MB Perlis

KESEMUA keempat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, akan dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri , kata Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa dibuat berikutan keputusan Pas pusat yang memutuskan ADUN daripada parti tersebut tidak akan menjadi Exco.

Bercakap kepada media di Kangar, Abu Bakar berkata, walaupun pelantikan itu sah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis namun beliau akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kepimpinan Bersatu sebelum membuat keputusan.

“Kita tidak ada pilihan, selain saya, ada empat lagi ADUN Bersatu jadi tidak ada salah dan tidak ada kurang.Kita terpaksa  beri peluang kepada mereka berkhidmat kepada rakyat Perlis dalam membangunkan negeri, meneruskan legasi Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, (perlantikan Exco) tidak akan ada masalah sebab minimum perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan adalah empat, maknanya kita ada empat (ADUN) tanpa Menteri Besar, kalau dengan Menteri Besar ada lima orang, maknanya kita boleh meneruskan untuk penyusunan lantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan dengan seberapa segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau tidak menolak kemungkinan tiga ADUN yang tergugur  keahlian sebagai ahli Pas akan dilantik sebagai Exco sekiranya status mereka kekal sebagai ADUN.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu  sebagai tanda solidariti terhadap bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img