SEORANG buruh binaan warga Indonesia maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam kira-kira tiga meter ketika menjalankan kerja-kerja menanam tangki kumbahan di Bandar Penawar di Kota Tinggi, Johor petang semalam.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, mangsa, lelaki berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan, ketika bekerja di hadapan sebuah kilang yang sedang dalam pembinaan.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 petang, sebelum sebuah jentera Fire Rescue Tender dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika kejadian terdapat dua pekerja binaan yang tertimbus, namun seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun sempat menyelamatkan diri, manakala mangsa telah tertimbus dalam tanah dianggarkan sedalam tiga meter.
“Pasukan operasi bertindak menggali tanah untuk mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan tali, peralatan menggali serta bantuan excavator,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairul Sufian berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.25 petang.


