Oleh Penulis Khas
BARU-baru ini tersebar klip video yang memaparkan seorang jurucakap Barisan Revolusi Nasional (BRN) mendedahkan apa yang berlaku dalam Mesyuarat Teknikal Proses Rundingan Damai Selatan Thailand di Kuala Lumpur.
Walaupun apa yang diputuskan dalam mesyuarat itu tidak diketahui umum memandangkan tiada kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat pada 8 Disember itu, namun melalui klip video tersebut, orang ramai boleh mengetahui sedikit sebanyak apa yang berlaku.
Sama ada apa yang diperkatakan oleh jurucakap BRN itu rahsia atau tidak, penulis tidak pasti tetapi apa yang pasti, kenyataan beliau telah menimbulkan persoalan apakah BRN sudah menghentikan perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan Pattani? Ia kerana selama ini itulah yang mereka uar-uarkan dan hebah ke seluruh dunia sehingga ia memberi imej buruk kepada Pemerintah Thailand.

BRN menggambarkan pemerintah Thailand menindas umat Islam, pemerintah Thailand bertindak tidak adil kepada wilayah selatan yang penduduknya majoriti Islam. Atas sebab itulah sejak 2004, BRN sentiasa melakukan serangan ganas di wilayah tersebut kononnya bagi memerdekakan Pattani.
Akibat tindakan keganasan yang mereka lakukan, Selatan Thailand tidak pernah aman. Ada sahaja kejadian anggota tentera atau orang awam dibunuh, fasiliti untuk orang ramai dirosakkan. Semua keadaan itu menyebabkan kedamaian tergugat sekaligus menjejaskan tumpuan pemerintah Thailand untuk memajukan wilayah berkenaan.
Mengikut statistik, konflik di wilayah yang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia itu mengakibatkan lebih 7,000 orang terbunuh manakala sekitar 14,000 cedera. Manakala demi memastikan keamanan dapat dikembali dan keselamatan penduduk Islam terjamin, pemerintah Thailand sudah menghabiskan tidak kurang RM64.2 bilion bagi memulihkan keadaan sejak 2004.
Ternyata perjuangan songsang BRN hanya sia-sia, mereka tidak akan mungkin dapat memerdekakan Pattani, mungkin atas sebab itu juga melalui klip video berkenaan, tidak ada satu perkataan ‘merdeka’ pun disebut oleh jurucakap BRN. Keadaan itu menimbulkan persoalan adakah BRN sudah menghentikan tuntutan merdeka?
Ia memandangkan jurucakap itu menyenaraikan lima perkara yang akan dimasukkan dalam rundingan yang dikenali sebagai Peace Dialog Process Implementation Frameworkd (PDIF) atau Kerangka Pelaksanaan Proses Dialog Keamanan iaitu secara ringkasnya:
*Perkongsian kuasa dalam bentuk pemerintahan sendiri untuk komuniti Pattani termasuk kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman (syariah)
*Bentuk pemerintahan sendiri yang sesuai dengan komuniti Pattani.
*Pemerintah Thailand gubal undang-undang berkaitan pemerintahan sendiri merangkumi kuasa politik, autonomi dan kuasa undang-undang tempatan.
*Sistem pendidikan untuk komuniti Pattani yang mencerminkan budaya bangsa komuniti itu
*Kehidupan awam perkhidmatan sosial dan kebajikan berlandaskan hak asasi manusia dan nilai-nilai universal – menjamin komuniti Pattani bebas dari segala bentuk diskriminasi, tekanan dan ancaman fizikal dan mental.
Itulah lima perkara dikemukakan oleh BRN yang menunjukkan mereka kini menumpukan kepada usaha untuk mendapat autonomi berbanding menuntut kemerdekaan. BRN juga menuntut pemerintahan sendiri.
Soalnya adakah tuntutan itu perlu? Kenapa pula mereka mahu ‘pemerintahan sendiri’ sedangkan ketika ini pemerintah Thailand telah memastikan masyarakat Islam di Selatan Thailand tidak dipinggirkan sama ada dari segi politik, sosial dan ekonomi.
Dari segi politik, masyarakat Islam ada wakil di Parlimen, dari segi sosial umat Islam dapat melaksanakan aktiviti mereka termasuk dalam bidang pendidikan dengan sehingga wilayah itu terkenal dengan pondok-pondok agama manala dari segi ekonomi, mereka bebas berniaga dan pemerintah Thailand sentiasa berusaha memajukan wilayah itu.
Hakikatnya, apa yang dituntut oleh BRN sudahpun dilaksanakan oleh pemerintah Thailand. Justeru daripada BRN mencari alasan bagi membolehkan mereka terus mengganas dan pemimpin mereka mendapat layanan Istimewa daripada NGO-NGO antarabangsa adalah lebih baik, BRN mengumumkan untuk menghentikan keganasan secara total dan memohon bekerjasama dengan pemerintah Thailand membangunkan wilayah selatan TANPA APA-APA SYARAT.
Apa yang menimbulkan persoalan, adakah panel BRN yang menghadiri proses damai itu mendapat mandat sepenuhnya daripada sayap-sayap dalam puak pemisah tersebut. Khabarnya, sayap militer dikatakan menolak sebarang usaha mahu menggugurkan perjuangan menuntut kemerdekaan.
Kalau begitu apa jaminan yang boleh diberikan oleh pemimpin BRN bahawa Selatan Thailand akan aman jika tuntutan lima perkara mereka diterima? Selain itu, sejauhmanakah keupayaan BRN untuk melaksanakan pemerintahan sendiri.
Siapakah pemimpin yang akan menjadi teraju utama? Kalau suruh hadir ke meja proses rundingan pun tidak mahu…macam mana mahu menjadi pemimpin utama kepada komuniti Pattani.
Sebenarnya, selagi pemerintah Thailand terbuka untuk berunding, selagi itulah konflik di Selatan Thailand tidak sukar dicapai, apa yang penting keikhlasan BRN dan keazaman puak pemisah itu untuk mencapai kedamaian di wilayah berkenaan. Paling penting kesemua pemimpin BRN yang hidup senang lenang di luar negara pulanglah ke tanah air sendiri.
Pada masa sama pemimpin BRN khususnya mereka yang datang berunding membuang sikap berkongsi maklumat dengan NGO asing berhubung apa yang terjadi dalam proses berkenaan.
Melalui langkah itu barulah mereka tahu apa sebenarnya berlaku dan bukannya bergantung kepada laporan sahaja yang entah betul entah tidak. Kepulangan mereka boleh dilakukan dengan jaminan pemerintah Thailand dan seterusnya rundingan boleh dibuat bagi menamatkan konflik yang sama sekali tidak menguntungkan sesiapa.
Mungkin siapa tahu, tindakan BRN menggugurkan tuntutan kemerdekaan akan membolehkan penduduk Islam menyokong mereka kerana selama ini tak sampai 5 persenpun penduduk Islam bersama dengan BRN, selebihnya semua menolak puak pemisah itu secara total. Justeru tidak payah lagi membuang masa dengan perjuangan sia-sia atau tuntutan yang belum tentu dipenuhi pemerintah Thailand.


