SEORANG penunggang maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta dipandu lelaki positif ganja di Kilometer 23, Jalan Seremban-Kuala Pilah di Kuala Pilah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan motosikal Honda ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta terbabit dari arah Seremban menghala Felda Keratong.
“Namun apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kenderaan terbabit berusia 23 tahun hanya cedera ringan.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu kereta tersebut mendapati dia positif mengambil dadah jenis ganja.
“Pemandu terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.


