SEORANG peniaga kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencabul seorang pekerja spa pada 27 Disember lalu.
Mohamad Azrullah Mohd Rodzi, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mencabul mangsa berusia 21 dengan cara menyentuh dan memicit punggung mangsa ketika wanita itu sedang menyapu sampah di hadapan premis.
Perbuatan itu dilakukan sekitar jam 11.40 pagi pada Sabtu lalu di Taman Satu Lagenda, Ayer Keroh.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmud semasa prosiding menawarkan jaminan sebanyak RM6,000.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan terpaksa menanggung keluarga dan merupakan satu-satunya individu yang bekerja.
Tertuduh yang masih bujang itu turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada penjamin hadir kerana ahli keluarganya tidak mengetahui mengenai kes yang dihadapinya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


