PELETAKAN jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa akan menyukarkan gabungan itu untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Urimai, P Ramasamy, berkata walaupun Bersatu mempunyai kecenderungan politik kaum, iaitu Melayu, namun parti itu berfungsi sebagai jambatan antara PN dan masyarakat bukan Melayu.
Beliau berkata, golongan bukan Melayu selama ini melihat Pas sebagai ekstrem namun lebih selesa dengan pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Dengan ketiadaan Muhyiddin dan Azmin, usaha PN untuk membina hubungan dengan pengundi bukan Melayu akan menjadi jauh lebih sukar. Kini kedua-dua pemimpin ini tidak lagi berada dalam PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi gabungan itu selepas lima tahun memimpin PN, sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan.

Turut meletakkan jawatan dalam PN di peringkat ialah Azmin Ali serta beberapa lagi pemimpin Bersatu termasuk Datuk Seri Faizal Azumu (Perak).
Ramasamy berkata, konflik antara Pas dan Bersatu telah lama berakar, namun krisis politik di Perlis menjadi pencetus utama kepada perletakan jawatan Muhyiddin, yang kemudian diikuti beberapa pimpinan Bersatu di peringkat negeri .
“Konflik antara PAS dan Bersatu telah lama membara, melibatkan perbezaan dari segi ideologi, pengalaman dan pendekatan politik,” katanya.
Beliau turut mengakui Pas kini mendominasi PN dari segi sokongan pilihan raya serta bilangan Ahli Parlimen dan ADUN, namun Bersatu mempunyai kelebihan ketara dari sudut pengalaman pentadbiran dan pendedahan politik di peringkat nasional.
Ramasamy mengambil contoh, tiada pemimpin Pas setanding dengan pengalaman Muhyiddin dan Mohamed Azmin dalam pentadbiran.
‘’Muhyiddin adalah lama berkhidmat sebagai menteri persekutuan dan bekas Perdana Menteri, manakala Azmin pula merupakan tokoh penting pembangkang sebagai bekas Menteri Besar Selangor dan menteri persekutuan.
“Atas sebab itulah Pas sebelum ini bersetuju untuk membenarkan Muhyiddin mengetuai PN, walaupun dari segi kekuatan kerusi, Pas berada di hadapan,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, ketidakseimbangan antara Pas dan Bersatu akhirnya mencetuskan ketegangan terbuka, khususnya susulan peranan ADUN Bersatu dalam melemahkan kedudukan Menteri Besar Perlis sehingga membawa kepada peletakan jawatan serta pelantikan ADUN Bersatu menduduki jawatan itu.


