SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang peserta yang menyertai Himpunan Global Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara pada Oktober lalu.
Isa Hazmi Zulkifli, 32, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mendatangkan kecederaan dengan cara memukul seorang lelaki peserta Himpunan Global Sumud Flotilla di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak pada jam 1.30 petang 2 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Zaid Malek memohon jaminan yang lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda dan perlu menanggung ibunya yang tidak bekerja.
“Hari ini, tertuduh hadir secara sukarela selepas diminta datang ke mahkamah. Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan tidak berhasrat membazirkan masa mahkamah atau mana-mana pihak terlibat.
“Saya memohon supaya tiada syarat tambahan dikenakan dan jaminan ditetapkan sebanyak RM700, satu amaun yang mencukupi bagi menjamin kehadiran anak guam saya ke mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Faezahnoor menetapkan jaminan sebanyak RM1,300 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Mahkamah juga menetapkan tarikh 12 Februari depan untuk sebutan semula kes.


