BMW rempuh pokok: Pemandu, penumpang cedera

SEORANG pemandu dan penumpang kereta mewah jenis BMW 520d cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok berhampiran Straits Quay Marina Mall, di Jalan Seri Tanjung Pinang, Tanjong Tokong, Pulau Pinang hari ini.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.40 petang melibatkan mangsa iaitu pemandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan seorang wanita warga Indonesia berusia 31 tahun penumpang kenderaan berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.49 petang dan mendapati sebuah kereta BMW 520d telah terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan.

“Kedua-dua mangsa didapati tidak tersepit dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, komander operasi menjalankan penilaian awal size up dengan pemakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans swasta untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan jalan termasuk membersihkan tumpahan minyak bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 3.04 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.20 petang,” katanya.

“Operasi melibatkan lapan anggota termasuk penyelia dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Hilux,” ujarnya.

Kata beliau lagi, turut berada di lokasi kejadian adalah polis dan pasukan Medic First Responder bagi membantu operasi menyelamat dan pengurusan mangsa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img