Zohran Mamdani angkat sumpah Datuk Bandar Muslim Pertama New York City

ZOHRAN Mamdani secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar New York City, sekali gus mencatat sejarah sebagai Datuk Bandar Muslim pertama serta individu termuda dalam beberapa generasi yang memegang jawatan tertinggi di bandar terbesar Amerika Syarikat itu.

Mamdani, wakil Parti Demokrat, mengangkat sumpah sejurus selepas tengah malam Khamis di sebuah stesen kereta api bawah tanah bersejarah yang telah dinyahaktifkan di Manhattan. Beliau meletakkan tangannya di atas al-Quran ketika melafazkan sumpah jawatan.

“Ini benar-benar satu penghormatan dan keistimewaan seumur hidup,” kata Mamdani dalam ucapannya.

Majlis tersebut dikendalikan oleh Peguam Negara New York, Letitia James, yang juga sekutu politiknya. Upacara itu berlangsung di stesen City Hall lama, salah satu stesen asal sistem subway New York yang terkenal dengan siling berkubah dan seni bina yang indah.

Mamdani dijadualkan mengangkat sumpah sekali lagi dalam satu upacara awam berskala besar di City Hall pada jam 1 petang (18:00 GMT), yang akan dikendalikan oleh Senator Amerika Syarikat, Bernie Sanders, seorang tokoh politik yang sangat dikaguminya. Majlis itu akan disusuli dengan sambutan awam berupa “block party” di sepanjang Broadway yang dikenali sebagai “Canyon of Heroes”, lokasi terkenal perarakan pita (ticker-tape parade).

Pada usia 34 tahun, Mamdani merupakan Datuk Bandar termuda New York City dalam beberapa generasi. Selain menjadi Datuk Bandar Muslim pertama, beliau juga yang pertama berketurunan Asia Selatan dan yang pertama dilahirkan di Afrika untuk memegang jawatan tersebut.

Mamdani dilahirkan di Kampala, Uganda, sebagai anak kepada pembikin filem terkenal Mira Nair dan Mahmood Mamdani, seorang ahli akademik serta penulis. Keluarganya berpindah ke New York City ketika beliau berusia tujuh tahun. Beliau membesar dalam suasana pasca-serangan 11 September 2001, satu tempoh di mana masyarakat Muslim sering berdepan rasa tidak diterima dan dipinggirkan.

Beliau memperoleh kewarganegaraan Amerika Syarikat pada tahun 2018.

Sebelum menceburi politik secara langsung, Mamdani terlibat dalam beberapa kempen politik calon-calon Demokrat di New York City. Pada tahun 2020, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (State Assembly) bagi mewakili sebahagian kawasan Queens.

Walaupun mempunyai pengalaman sebagai wakil rakyat, Mamdani masih kurang dikenali apabila beliau melancarkan kempen Datuk Bandar pada penghujung tahun lalu. Namun, menjelang pemilihan awal Parti Demokrat, beliau melonjak dengan pantas dalam tinjauan pendapat hasil mesej kempen yang menumpukan kepada isu kemampuan sara hidup.

Akhirnya, Mamdani menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo, sebanyak dua kali — pertama untuk memenangi pencalonan Parti Demokrat pada bulan Jun, dan sekali lagi dalam pilihan raya pada bulan November.

Dalam kempen yang menjadikan isu “kemampuan sara hidup” sebagai tumpuan utama merentasi spektrum politik, Mamdani yang berhaluan sosialis demokrat berjanji untuk membawa perubahan besar bagi mengurangkan kos kehidupan di salah sebuah bandar paling mahal di dunia.

Antara janji utamanya termasuk penyediaan penjagaan kanak-kanak percuma, perkhidmatan bas percuma, pembekuan sewa bagi kira-kira satu juta isi rumah, serta pelaksanaan program perintis kedai runcit milik dan dikendalikan oleh kerajaan bandar.

Namun, beliau juga bakal berdepan realiti tugas harian sebagai Datuk Bandar, termasuk menguruskan isu kebersihan bandar, salji, masalah tikus, serta kritikan awam berkaitan kelewatan kereta api bawah tanah dan jalan berlubang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img