SEORANG juruteknik dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama keluarga di Pusat Rekreasi Jeram Besu, Sega di Raub hari ini.
Mangsa, Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, dipercayai turun ke kawasan jeram kira-kira jam 12.45 tengah hari untuk mandi.

Difahamkan mangsa berasal dari Sabah sedang bercuti di rumah saudaranya sebelum terlibat dalam tragedi itu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, isteri mangsa yang berada di lokasi kejadian bersama penduduk setempat berusaha mencari mangsa, namun gagal.
“Berikutan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 2.16 petang dan pasukan keselamatan digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi tersebut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 petang.
Kata beliau, berdasarkan laporan, mangsa dikhuatiri dihanyutkan arus ketika mandi di pusat rekreasi tersebut.
Mohd Salahuddin memaklumkan, setibanya pasukan di lokasi, operasi mencari dijalankan menggunakan bot, dibantu anggota polis, APM, Pasukan Bomba Sukarela Kuala Gali serta penduduk kampung kira-kira jam 3.24 petang.
“Pasukan selam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin turut dikerahkan bagi meningkatkan keberkesanan operasi pencarian.
“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemukan dan usaha mencari akan disambung esok selepas ditangguhkan jam 7 malam ini,” jelasnya.


