POLIS mengeluarkan 12,437 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas di seluruh negara menerusi Ops Ambang Tahun Baharu 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya turut menyita 390 kenderaan dan menahan 25 individu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Selain itu, 20 individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, tiga di bawah Kanun Keseksaan dan tiga lagi di bawah akta lain.
Mohd Yusri berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di 240 lokasi seluruh negara bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang sambutan ambang tahun baharu.
Tambahnya, seramai 327 pegawai kanan dan 2,460 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi bermula 9 malam semalam hingga 2 pagi tadi, dengan kerjasama beberapa agensi luar.
“Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan 258 anggota; Agensi Antidadah Kebangsaan (80); Jabatan Alam Sekitar (70); Jabatan Imigresen Malaysia (58); konsesi lebuh raya (54); serta pihak berkuasa tempatan (lapan),” katanya menerusi kenyataan.


