JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menahan sebanyak 32 individu beragama Islam atas kesalahan minum minuman keras pada malam sambutan Tahun Baharu 2026 pada malam 31 Disember lalu.
Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sekitar Johor Bahru kira-kira jam 3.10 pagi.
Menurut JAINJ, mereka yang ditangkap terdiri daripada 25 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun. Daripada jumlah tersebut, 26 individu adalah warga tempatan dan enam warga Singapura.
“Kebanyakan yang ditangkap itu datang dari negeri ini dan daerah lain yang datang bercuti di Johor Bahru. Individu yang ditangkap kali ini tidak membabitkan penjawat awam dan tiada dalam kalangan pelajar.
“Semasa penguat kuasa JAINJ membuat pemeriksaan, kesemua mereka berada di kerusi sambil menghadap arak di atas meja masing-masing,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika serbuan, JAINJ memaklumkan, penguat kuasa JAINJ telah mengawal semua laluan keluar masuk pusat hiburan itu bagi mengelakkan sebarang cubaan melarikan diri, sekali gus membolehkan operasi dijalankan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Kesemua individu ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor kerana meminum minuman memabukkan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Mereka kemudian dibawa menggunakan lori penguat kuasa ke Pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelasnya, penguat kuasa JAINJ akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala dan mengejut di pusat hiburan sekitar negeri ini bagi membendung aktiviti yang melanggar undang-undang syariah.


