TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasioanal (PN) dan kerjasama ini akan terus dipelihara demi kestabilan serta kekuatan gabungan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun tidak lagi menerajui PN namun beliau masih menerajui kepimpinan Bersatu sebagai Presiden.
‘’Sempena Tahun Baru ini, saya menyeru seluruh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia agar memperkukuh kerjasama, memperteguh perpaduan dan menutup rapat segala ruang perpecahan dalam parti. Dalam menghadapi cabaran semasa, keutamaan kita adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti, katanya dalam perutusan Sempena Tahun Baharu 2026.
Pada 30 Dis lalu,Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi PN, berkuatkuasa semalam berikutan krisis politik di Perlis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menegaskan, ada ketikanya perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.
‘’Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti,’’ katanya.


