PRESIDEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi berkuat kuasa semalam.
Abdul Hadi berkata mesyuarat mengenai calon pengerusi PN yang baru akan berlangsung minggu depan yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.
“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang hari ini, lapor Bernama.
Abdul Hadi berkata Pas mempunyai ramai calon dalam kalangan agamawan mahupun teknokrat namun Anggota Parlimen Marang itu masih menutup mulut mengenai identiti calon yang akan dikemukakan.
Ditanya kemungkinan dia akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.
‘’Memang saya ni dalam keuzuran…kita bincang dalam meeting…ada orang..dalam Pas banyak,’’ katanya.
Mengenai hubungan dengan Bersatu, beliau berkata, ia masih baik begitu juga dengan UMNO.
‘’Kita nak satukan orang Melayu dan orang Melayu yang tidak ekstrem,’’ katanya.


