Sabri nafi tuduhan Chegubard, sifatkan dakwaan serius libatkan Puspahanas, ATM

PRESIDEN Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali hari ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau oleh seorang aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Sabri turut menyifatkan dakwaan itu menerusi hantaran di Facebook pada 31 Disember lalu sebagai serius dan berpotensi mencemar institusi pertahanan negara.

Penafian tersebut susulan dakwaan Chegubard yang mengaitkan nama Sabri dengan isu salah guna kuasa dan rasuah termasuk pendedahan beberapa dokumen yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa.

Tegasnya, tuduhan tersebut sekali gus mengheret nama Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

MUHAMMAD Firdaus Jumaluddin (kiri) bertindak sebagai jurucakap rasmi kepada Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dalam sidang media khas di Puspahanas, Putrajaya hari ini

Peguam Sabri, Muhammad Firdaus Jumaluddin yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa.

“Terdapat pihak tertentu yang mendakwa memiliki kononnya ‘dokumen’, termasuk dokumen yang didakwa sebagai sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.

“Namun Datuk Sabri tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Puspahanas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terbuka kepada pengubahsuaian dan manipulasi tidak boleh dianggap sebagai bukti salah laku atau sokongan terhadap sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, Sabri mengekalkan sepenuhnya semua hak undang-undang beliau, termasuk hak untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kepercayaan penuh terhadap kedaulatan undang-undang serta integriti institusi sah negara dan bersedia memberi kerjasama melalui saluran yang wajar sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Segala soal jawab berkaitan isu ini hanya akan dijawab secara rasmi, formal dan sah di sisi undang-undang. Datuk Sabri tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif bersifat sensasi,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, penyebaran tuduhan yang belum disahkan berpotensi mencemarkan reputasi individu, menjejaskan keyakinan awam serta membawa kepada ketidakadilan serius.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta supaya memberi ruang kepada proses undang-undang yang sewajarnya dan menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas atau berniat jahat.

Sebarang kenyataan lanjut, menurut beliau, hanya akan dibuat melalui peguam lantikan rasmi.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus turut menggesa Chegubard supaya menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencemar reputasi individu serta menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi keselamatan negara.

Pada Disember lalu, Badrul Hisham mendakwa Sabri terlibat dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (Peta) pada Mei 2024.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img