JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatat jumlah kutipan kompaun sebanyak RM4.5 juta sepanjang tahun lalu melibatkan 93,638 kesalahan lalu lintas hasil pemeriksaan terhadap 365,016 kenderaan di seluruh negeri ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49,408 kenderaan diambil tindakan dengan 74,951 saman dikeluarkan, selain 33,090 notis lain-lain kesalahan.
Beliau berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (11,430 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (17,328 kes) serta tiada perlindungan insurans (14,626 kes).
“Kesalahan lain membabitkan kesalahan cermin gelap sebanyak 5,943 dan pemandu bawah umur (397 kes) serta 14,342 kes lain-lain kesalahan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika ditemui di Depot Sita JPJ, di Kuala Terengganu semalam, lapor Harian Metro.
Menurut Zamri, bagi kesalahan teknikal, nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi mencatatkan angka tertinggi iaitu 6,865 kes, diikuti 5,690 lain-lain kesalahan teknikal, 1,860 kes tayar, 1,739 kes ubah suai kenderaan dan 1,509 kes lampu henti tidak berfungsi serta ekzos sebanyak 675 kes.
Mengulas sembilan kesalahan utama, Zamri berkata, JPJ merekodkan 4,423 kes gagal mematuhi isyarat lampu merah, 2,909 kes tidak memakai topi keledar, muatan berbahaya (1,005 kes).
Lebih muatan (975 kes), tidak memakai tali pinggang keledar (944 kes), selain kes memotong secara berbahaya (188 kes), menggunakan telefon bimbit (180 kes) dan memandu di lorong kecemasan sebanyak 14 kes.
Beliau berkata, penguatkuasaan berterusan sepanjang tahun lalu turut merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM4,497,725 membabitkan 26,969 kes kompaun.
“Kutipan ini termasuk menerusi diskaun saman 50 peratus yang berakhir Disember lalu sebanyak RM2.54 juta bukan bertujuan menjana hasil semata-mata, sebaliknya sebagai langkah mendidik dan mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurutnya, Disember mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM655,530.00 membabitkan 5,048 kes, diikuti November sebanyak RM489,240 (3,951 kes) dan Oktober RM414,620 (2,407 kes).
Beliau berkata, peningkatan kutipan pada hujung tahun adalah susulan pertambahan pergerakan kenderaan serta operasi penguatkuasaan lebih agresif menjelang musim perayaan dan cuti sekolah.
“JPJ Terengganu akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.


