TINDAKAN pemilik sebuah rumah di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur menjadikan premisnya sebagai mini kasino terbongkar dalam serbuan Op Dadu oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, tengah malam tadi.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut memberkas lima individu yang dipercayai peserta aktiviti perjudian mini kasino jenis poker.
Bahagian D7 JSJ IPK Kuala Lumpur dalam kenyataannya hari ini berkata, tangkapan membabitkan lima lelaki berusia antara 23 hingga 42 tahun.
“Suspek terdiri daripada pemilik rumah iaitu seorang lelaki tempatan yang dipercayai penganjur dan juga pemain judi.
“Empat lagi adalah tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Kanada yang kesemuanya turut bermain judi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pasukan D7 merampas beberapa peralatan yang digunakan semasa perjudian termasuk cip judi yang digunakan sebagai wang, daun terup serta alas meja poker.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen Malaysia 1959/63.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kenyataan itu, D7 menegaskan akan terus mempergiatkan operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk aktiviti perjudian haram yang menyalahi undang-undang di sekitar ibu negara.


