POLIS menahan seorang pekerja swasta bagi membantu siasatan kes pergaduhan menggunakan kayu di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) menghala ke Balakong di Kajang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan jam 10.30 malam tadi.
“Hasil semakan lanjut mendapati lelaki terbabit memiliki satu rekod jenayah lampau. Suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok (Isnin) bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media pada Jumaat lalu melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua individu, salah seorang daripadanya memegang objek disyaki kayu di plaza tol berkenaan.
Kejadian yang tular dalam media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi turut menyebabkan halangan lalu lintas kepada pengguna lebuh raya yang lain.
Naazron dalam pada itu berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758 bagi membantu siasatan,” katanya.


