‘’Saya nak tanya, lu siapa? – Pengerusi DAP Melaka jawab cabaran Akmal

PENGERUSI  DAP Melaka, Khoo Poay Tiong membidas desakan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri Melaka.

Katanya, kuasa untuk melantik Exco Kerajaan Negeri adalah di bawah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bukannya Akmal.

“Saya nak tanya siapa Akmal Saleh? yang ada kuasa untuk melantik Exco adalah Ketua Menteri bukannya beliau,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 di Melaka hari ini.

Beliau berkata atas semangat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 di peringkat Kerajaan Pusat, maka Ab Rauf telah menjemput seorang wakil DAP untuk menyertai barisan Exco kerajaan negeri.

“Atas prinsip tersebut kita menerima dan berhasrat berkhidmat untuk rakyat… jadi apabila anda (penyokong DAP) tanya sekarang – ‘Akmal kata suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan’ – saya nak tanya, lu siapa?,” katanya, lapor Astro Awani.

Poay Tiong turut menyatakan keputusan melibatkan sokongan terhadap kerajaan hanya ditentukan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukan Ketua Pemudanya.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu turut menegaskan DAP tidak gentar untuk bertanding secara bersendirian dan berperanan selaku pembangkang.

“Kita tak takut untuk masuk ke gelanggang sebagai solo… DAP bukannya gila kuasa, tamak jawatan atau ingin sangat kepada jawatan menteri ataupun Exco,” katanya lagi.

Semalam, semasa konvensyen khas ‘Hala Tuju UMNO: Kekal Atau Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan’ di Kuala Lumpur, Akmal mencabar DAP agar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Akmal itu difahamkan disasarkan kepada salah seorang Ahli Parlimen DAP dari Pulau Pinang yang mendesak agar Akmal meletak jawatan daripada barisan Exco dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka.

“Jangan lupa parti kamu DAP itu sebahagian daripada kerajaan kami di Melaka, saya cabar DAP letak jawatan dulu,” kata Akmal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img