Pengurus jualan wanita didakwa ludah, aibkan polis serta menghina agama

SEORANG pengurus jualan wanita didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dan melukakan perasaan penganut agama Islam pada Rabu lalu.

Teoh Siew Li, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan meludah Lans Koperal Jelnazir Helman atas niat menghalang anggota polis itu menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan dan menunjukkan jari tengah kepada Jelnazir.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Siew Li didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan Jelnazir yang beragama Islam dengan mengeluarkan perkataan menghina agama.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau keduanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di hadapan sebuah syarikat di Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong di Alor Setar pada jam 12 tengah hari, 31 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes terbabit menjadi perhatian awam dan video kejadian mendapat lebih 500 hantaran di media sosial.

Siew Li kemudian merayu dengan memaklumkan gajinya sebagai pengurus jualan adalah RM6,000 sebulan dan masih menanggung ibu, adik dan adik iparnya selepas kematian bapa.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 20 Januari bagi tarikh sebutan semula, serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita tempatan dipercayai melakukan kekacauan serta bertindak agresif serta memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di kawasan Mergong.

Kejadian itu turut dirakam orang awam dan tular dalam media sosial.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img