Pemandu Persona tertekan pedal minyak hingga rempuh dua kereta lain – Polis

POLIS mengesahkan pemandu sebuah kereta jenis Proton Persona telah tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaannya itu merempuh dua buah kenderaan lain dalam kejadian di Taman Puchong Indah, Subang Jaya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12.30 tengah hari pada 28 Disember lalu ketika pemandu Proton Persona iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun mahu meletakkan kenderaannya.

“Pemandu itu secara tidak sengaja tertekan pedal minyak lalu terlanggar Perodua Myvi. Dalam keadaan panik, pemandu itu turut didakwa terlanggar sebuah lagi kenderaan jenis Peugeot sebelum memberhentikan keretanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam rakaman video berdurasi 21 saat yang tular sejak beberapa hari lalu, netizen mendakwa pemandu kereta Persona dalam keadaan mabuk sehingga merempuh dua kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan di Taman Puchong Indah.

Wan Azlan dalam pada itu berkata, pemandu dua kenderaan yang dirempuh sudah hadir membuat laporan polis, manakala pemandu Proton Persona itu juga membuat laporan selepas menerima rawatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img