PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan isu kritikal negara dalam Amanat Tahun Baharu bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, esok hari Isnin pertama bulan Januari dan Perdana Menteri memanggil Jemaah Menteri untuk mesyuarat khas bagi membincangkan beberapa isu terdesak.
“Selepas itu, beliau akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu jam 11.30 pagi bersama warga JPM. Ia dijangka menjadi platform penting untuk mengumumkan langkah baharu kerajaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 di Melaka, hari ini.
Anthony berkata, pengumuman itu mencerminkan keseriusan Perdana Menteri serta pimpinan kerajaan menangani pelbagai isu rakyat, khususnya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan maklum balas diterima, isu ekonomi kekal sebagai antara keutamaan utama apabila komuniti perniagaan menyuarakan kebimbangan terhadap persekitaran dan iklim perniagaan yang dilihat kurang memberangsangkan.
Katanya, antara perkara yang dijangka diberi perhatian ialah langkah menangani rungutan komuniti perniagaan termasuk berkaitan pemulangan semula cukai serta inisiatif lain bagi merangsang keyakinan ekonomi.
“Dalam isu ekonomi, komuniti perniagaan mengeluh berdepan pelbagai cabaran dan saya yakin pengumuman positif akan dibuat esok untuk menangani isu kritikal seperti ini.
“Amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri itu bukan sekadar ucapan, sebaliknya akan menggariskan hala tuju negara dan kerajaan sepanjang tahun ini dengan penekanan terhadap pelaksanaan serta tindakan susulan,” katanya.


