PASUKAN Mencari dan Menyelamat (SAR) Indonesia menemukan mayat Jurulatih Valencia CF Martin Carreras Fernando, di perairan Pulau Rinca, Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur (NTT), hari ini.
Martin Carreras merupakan antara mangsa yang dilaporkan hilang susulan kejadian kapal pelancong kayu KM Putri Sakinah yang tenggelam di perairan Pulau Padar pada 26 Disember lalu .
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polda NTT, Pesuruhjaya Kanan Polis Henry Novika Chandra, mengesahkan bahawa mayat yang ditemukan pada pukul 8.46 pagi waktu tempatan itu (pukul 9.46 waktu Malaysia) dikenal pasti sebagai jurulatih pasukan bola sepak wanita Valencia CF (Pasukan B).
Menurut Henry, pengesahan awal dibuat berdasarkan ciri-ciri fizikal mayat serta pengesahan oleh Budi Widjaja, yang mengiringi keluarga mangsa. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati ciri-ciri mayat sepadan dengan maklumat mangsa yang dilaporkan hilang.
Walaupun ahli keluarga telah mengenal pasti mangsa, pihak polis tetap meneruskan prosedur perubatan dan pentadbiran. Pasukan Disaster Victim Identification (DVI) Polis Manggarai Barat menjalankan proses pengecaman lanjut di Hospital Umum Daerah Komodo bagi melengkapkan siasatan.
Mayat mangsa pertama kali ditemukan oleh Unit Polis Air dan Udara Polis Daerah NTT semasa operasi pencarian di sekitar Pulau Padar. Ketika ditemukan, mangsa masih mengenakan seluar berwarna oren.


