Pesara kerugian lebih RM1 juta terperdaya skim pelaburan saham palsu dalam Facebook

HANYA kenal menerusi aplikasi Facebook namun seorang pesara kerajaan sanggup `melabur’ lebih RM1 juta tanpa menyedari dia sebenarnya menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham dalam talian palsu.

Ditawarkan pulangan keuntungan berganda sehingga mencecah 200 peratus dalam tempoh yang singkat menyebabkan mangsa, seorang lelaki berusia 67 tahun `kelabu mata’ untuk menyertai pelaburan itu selepas mengenali seorang wanita dalam aplikasi itu sejak Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail memberitahu, mangsa hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan yang tidak wujud itu baru-baru ini sebelum membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam.

“Suspek kemudian menawarkan satu pelaburan saham dikenali sebagai DAC Pro atas nama syarikat Navis Management Sdn Bhd dan mengarahkan mangsa berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh singkat, menyebabkan mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata, mangsa diminta memuat turun aplikasi DAC Pro bagi tujuan pendaftaran keahlian dan membuat pelaburan.

Dalam tempoh 8 Oktober hingga 10 Disember lalu, katanya, mangsa telah membuat sebanyak 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.

Sepanjang tempoh itu juga tambah beliau, mangsa dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM7,488,492 namun tidak pernah menerima sebarang pulangan sebenar.

“Apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran.

“Dalam tempoh 18 hingga 24 Disember lalu pula, mangsa sekali lagi membuat enam transaksi kemasukan wang berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari telah ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan serta diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan cukai dan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Mangsa berasa curiga sebelum membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan,” jelasnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img