KERAJAAN Perpaduan akan kekal berkuasa walaupun UMNO menarik diri seperti yang dituntut oleh Pemuda UMNO, namun nasib kerajaan bergantung kepada keputusan DAP untuk menilai semula kedudukannya.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kerajaan Perpaduan masih mempunyai majoriti walaupun 30 Ahli Parlimen UMNO keluar, tetapi sekiranya DAP menarik diri dengan 40 Ahli Parlimen, kerajaan akan tumbang kerana hanya tinggal 83 kerusi, jauh daripada majoriti di Dewan Rakyat.
Di bawah Perlembagaan, kerajaan ketika itu perlu meletakkan jawatan atau memanggil pilihan raya umum, katanya melalui Facebook beliau.
Hassan berkata reputasi Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, akan menjadi taruhan susulan gesaan masing-masing supaya kedudukan parti mereka dalam kerajaan dinilai semula.
Menurutnya, Akmal perlu meletakkan jawatan sekiranya UMNO memutuskan untuk kekal dalam kerajaan walaupun terdapat gesaan Pemuda UMNO supaya parti itu keluar.
Manakala reputasi Anthony dan DAP pula akan musnah sekiranya parti itu terus kekal dalam kerajaan tanpa pelaksanaan reformasi seperti yang dituntut dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Rakyat tidak lagi akan menghormati DAP,” kata beliau.
Hassan berkata, ancaman lebih besar kepada Pakatan Harapan (PH) adalah kemungkinan wujudnya pakatan Melayu-Islam sekiranya UMNO keluar daripada kerajaan dan bergabung dengan Pas serta Bersatu.
“Tidakkah gabungan yang menjenamakan dirinya sebagai satu pakatan Melayu-Islam akan menjadi cabaran terbesar kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16?” soalnya.


