DUA pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, maut apabila motosikal ditunggang mereka dipercayai terbabas sendiri lalu melanggar besi penghadang di Kilometer (KM) 1 Jalan Chengkau-Panchang-Lubok Cina, Melaka hari ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, berkata Ismawanie Husna Ismail dan Nur Ain Zulaisya Zahrain, kedua-duanya berusia 19 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan pada bahagian kepala dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.
“Hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku ketika kedua-dua pelajar Diploma Pengurusan Maklumat serta Diploma Komunikasi dan Media itu dalam perjalanan dari arah UiTM Rembau menghala ke Pekan Lubok Cina. Keadaan cuaca dilaporkan baik ketika itu.
“Setiba di jalan selekoh, motosikal Yamaha NVX yang ditunggang Ismawanie Husna dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


