MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu hari ini mengenakan denda RM80,000 terhadap seorang peniaga atas kesalahan melakukan penyambungan haram elektrik di sebuah premis di Kampung Lundang pada Oktober lalu.
Hakim Nik Habri Mohamad menjatuhkan hukuman ke atas orang kena saman (OKS), Loo Siong Hong, 43, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, peniaga terbabit didakwa dengan curang menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan dengan sempurnanya penggunahabisan elektrik dengan cara membuat sambungan haram yang disambung pada bahagian terminal keluaran suis fius di panel meter dan dialirkan ke premis.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lundang jam 3 petang pada 15 Oktober tahun lalu.
OKS didakwa mengikut perenggan 37(3)(e)Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan boleh dihukum di bawah subsubperenggan 37(3)(A)(ii) Akta yang sama memperuntukan denda RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Jabatan Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (ST), Khairul Nizam Mohd Kamal manakala OKS tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Khairul Nizam memohon hukuman setimpal dikenakan kepada OKS memandangkan kes berkenaan serius membabitkan kepentingan awam selain kerugian yang ditanggung TNB sebanyak RM1.33 juta.
“Jenayah yang dilakukan OKS bukannya jenayah yang tipikal sebaliknya mencuri elektrik bagi tujuan melombong bitcoin. Malah ini adalah jenayah yang terancang dan impaknya bukan hanya kepada individu tetap kepada kita semua.
“ST sebelum ini sudah melakukan sesi libat urus untuk memberi perkongsian keseriusan jenayah curi elektrik dan impaknya kepada masyarakat.
“Perlu ditegaskan bahawa jumlah kerugian yang dialami oleh pihak TNB akibat kegiatan curi elektrik dalam kes ini adalah sebanyak RM1.33 juta Ini adalah jumlah yang akan dikira sebagai system loss yang akan mengakibatkan impak kenaikan kepada tarif elektrik kepada semua pengguna,” katanya.
OKS dalam pada itu memohon hukuman denda yang minimum kerana sudah insaf selain memberi kerjasama baik kepada ST.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000 dan berharap kes berkenaan adalah yang terakhir di Kelantan selain hukuman yang dikenakan memberi pengajaran kepada individu lain.


