JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan berjaya merampas 130 kilogram teh tiruan bernilai RM3,963 dalam operasi bersepadu yang diadakan di negeri ini mulai 24 November hingga 9 Disember lalu.
Kesemua rampasan teh tiruan itu melibatkan pemeriksaan dijalankan pihaknya di kedai runcit, pemborong, restoran dan pasar raya.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, sebanyak 20 premis telah diperiksa dan nilai rampasan keseluruhan 130 kilogram teh tiruan itu adalah RM3,963.
“Sepanjang pemeriksaan, dua notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan, Pengkompaunan Kesalahan 2017 dengan nilai RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tindakan itu sebahagian daripada usaha membanteras penjualan produk teh yang tidak mematuhi standard keselamatan makanan.
Tambahnya, selain rampasan, sepanjang tahun lepas, tiga syarikat pembekal teh didakwa di mahkamah kerana melanggar Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, yang melarang penggunaan pewarna tiruan dalam serbuk teh.
“Hukuman yang dijatuhkan termasuk satu kes di Kota Bharu yang didenda RM5,000 dan dua kes di Machang denda RM1,500 setiap satu, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM8,000.
“Di bawah peraturan ini, teh tidak boleh mengandungi sebarang pewarna sama ada dibenarkan atau tidak,” kata Dr Azman.
Sepanjang tahun lalu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKN Kelantan juga menjalankan pelbagai operasi bersepadu dan bertema, memberi tumpuan kepada premis yang menjual produk teh tiruan atau yang tidak mematuhi pelabelan.
Rampasan dan pengeluaran notis kesalahan adalah sebahagian daripada langkah penguatkuasaan berterusan bagi memastikan pematuhan syarikat pembekal dan pengedar.
“Jabatan ini akan memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan bebas penipuan sepanjang rantaian,” katanya.
Dr Azman turut menasihatkan orang ramai agar melaporkan sebarang maklumat berkaitan pewarna teh tiruan atau pelabelan tidak sah kepada JKN atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
“Maklumat daripada orang awam amat penting dalam membanteras pengedaran produk makanan yang tidak selamat.
“JKN Kelantan menegaskan tindakan penguatkuasaan akan berterusan sepanjang tahun bagi memastikan semua makanan di pasaran selamat, berkualiti dan mematuhi undang-undang,” katanya.


