Pembayar cukai terima Notis Bayaran Ansuran tidak akan dikenakan penalti

LEMBAGA  Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak akan dikenakan penalti pada tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memberitahu langkah itu susulan  keputusan kerajaan bersetuju memberikan tempoh peralihan kepada pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian seperti sewa, faedah dan royalti bagi pematuhan CP500 untuk Tahun Taksiran 2026.

‘’Dalam tempoh peralihan ini, tiada penalti akan dikenakan sekiranya pembayar cukai tidak membuat bayaran ansuran CP500.

“Bagaimanapun, pembayar cukai digalakkan untuk membuat bayaran ansuran CP500 secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban bayaran baki cukai semasa pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak,’’ katanya kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu,  selaras dengan konsesi pengenaan penalti yang diumumkan, tiada keperluan untuk pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan penggajian sahaja untuk mematuhi arahan bayaran ansuran.

“Namun, pembayar cukai dinasihatkan supaya mengemas kini laporan penerimaan pendapatan dalam BNCP bagi Tahun Taksiran 2025 untuk mengelakkan penerimaan arahan bayaran ansuran CP500 pada masa hadapan,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois tanpa penalti selama setahun bagi syarikat dengan nilai jualan RM1 juta hingga RM5 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkata, kerajaan menaikkan ambang pengecualian cukai perkhidmatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Perutusan Khas Tahun Baharu 2026 di Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.

LHDNberkata, pihaknya akan menghubungi pembayar cukai yang terbabit untuk menjelaskan sebarang kesilapan laporan pendapatan dalam BNCP yang sudah dikemukakan oleh pembayar cukai sebelum ini.

“Bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh membuat pindaan kali pertama tidak lewat daripada 30 Jun 2026 dan pindaan kali kedua tidak lewat daripada 31 Oktober 2026,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img