MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 31, kekal bebas daripada pertuduhan mengabaikan anaknya yang berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lalu.
Hakim Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka mahu membatalkan rayuan berkenaan.
Ia membabitkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 21 Julai 2025 yang membebaskan Zaim, 31, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan berkata, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa notis penarikan balik rayuan telah difailkan pagi ini.
“Mereka tidak mahu meneruskan rayuan tersebut maka mahkamah mengambil keputusan untuk membatalkan rayuan pihak pendakwaan.
“Ini sekali gus mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Mardiyah Mohd Ali manakala Zaim Ikhwan diwakili Haresh dan peguam Ramzani Idris.
Pada Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh membebaskan bapa kepada dua anak itu selepas mendapati pendakwaan gagal membangkitkan elemen pemeliharaan, pengabaian dan niat bersama.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan isterinya, Ismanira Abdul Manaf membela diri atas pertuduhan berkenaan di bawah seksyen terbabit.
Pada 31 Oktober, Syahliza mendapati Ismanira, 31, bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.
Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.


