PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima anugerah Order of the Republic semasa lawatan rasmi beliau ke Turki, yang bermula hari ini hingga Khamis depan.
Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi republik berkenaan sebagai menghargai peranan Anwar dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Turki ke tahap lebih erat dan signifikan.
“Anugerah ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada seorang pemimpin luar yang telah mendekatkan dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Turki,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Turki hari ini, lapor Bernama
Sazali berkata, anugerah itu akan disampaikan oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan esok.
Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Turki sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Sepanjang lawatan tersebut, Perdana Menteri akan menerima sambutan rasmi oleh Presiden Erdogan di Kompleks Presiden, sebelum mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara strategik dan kritikal melibatkan hubungan Malaysia-Turkiye.
Selain mesyuarat peringkat tertinggi itu, Sazali berkata Perdana Menteri turut akan mempengerusikan mesyuarat meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, sebagai usaha meneroka peluang baharu kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
“Mesyuarat ini menunjukkan kesungguhan kerajaan MADANI untuk membentuk, meneroka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan Malaysia-Turkiye.
“Setakat ini sebanyak 40 syarikat Turkiye dijangka menyertai mesyuarat meja bulat tersebut yang merangkumi pelbagai sektor, katanya.
Sazali berkata Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk Power Shift, Strategic Choices for Malaysia and Turkiye kepada golongan profesional, akademik, pegawai kanan Turkiye serta pelajar.
Dalam konteks hubungan ekonomi, beliau berkata nilai perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye pada 2024 mencecah US$5.2 bilion, dengan sasaran baharu untuk meningkatkan jumlah itu kepada US$10 bilion.
Anwar turut diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa lawatan rasmi ini. Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta pegawai kanan kerajaan.


