Polis Perlis rampas 259 mesin bitcoin guna elektrik secara haram babitkan kerugian TNB RM15.5 juta

POLIS Perlis merampas sejumlah 259 unit mesin perlombongan bitcoin berserta pelbagai peralatan sokongan keseluruhan dianggarkan bernilai RM958,000 dalam serbuan berasingan di tujuh premis sekitar Kangar dan Kuala Perlis pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, kegiatan perlombongan bitcoin yang menggunakan penyambungan elektrik secara haram mengakibatkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian dianggarkan RM15.55 juta.

DATUK Muhammad Abdul Halim

“Polis menjalankan serbuan antara jam 9 pagi hingga 5.40 petang hasil maklumat awam mengenai gangguan bekalan elektrik akibat penggunaan tenaga secara berlebihan menerusi Op Cantas Elektrik.

“Dalam serbuan itu, pihak polis mendapati kesemua premis terbabit membuat penyambungan elektrik secara haram tanpa meter bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin yang dipercayai telah beroperasi antara tiga bulan hingga setahun lalu sekali gus menjejaskan hasil dan operasi TNB,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar hari ini.

Menurut Muhammad, operasi melibatkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama Pasukan Petugas IPD Kangar, Cawangan D4 IPK Perlis serta dibantu juruteknik TNB Perlis, Team SEAL TNB Pulau Pinang dan Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam serbuan itu beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun yang kini direman pada 1 Januari lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan polis manakala kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Muhammad turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian elektrik atau mengesyaki aktiviti penyambungan tidak sah supaya menyalurkan maklumat itu kepada IPK Perlis di talian 04-987 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img