KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh yang berhadapan dengan kritikan dari luar dan dalam parti berikutan gesaannya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan memberi bayangan beliau akan mengundur diri.
Bagaimanapun dalam catatan melalui Facebook beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu tidak menyatakan secara terperinci maksud pengunduran diri tersebut.
‘’Kita dah usaha sehabis baik ,kita dah sampaikan sehabis baik.Mungkin kelemahan datang dari diri saya sendiri .Mungkin sudah tiba masanya untuk mengundur diri.Terima kasih atas suara-suara anda semua yang sayangkan perjuangan ini .Saya percaya jika niat kita baik demi agama,bangsa dan tanah air.InsyAllah waktunya akan sampai jua,’’ katanya.
Pada Sabtu lalu pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Akmal menggesa UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang serta mewujudkan penyatuan Melayu dengan Pas.
Catatan dalam Facebook beliau itu mewujudkan persoalan, adakah beliau akan mengundurkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO atau sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka. Ia memandangkan Kerajaan Negeri Melaka kini turut dianggotai oleh ADUN daripada DAP.
SEMENTARA itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi sokongan moral kepada Akmal supaya terus melangkah ke hadapan dan tidak menoleh ke belakang dalam mendepani ujian politik semasa.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis III itu berkata, setiap perjuangan pastinya disertai cabaran besar dan ia perlu diterima dengan penuh kesabaran.
“Akmal, bila kita gerak ke hadapan, kita maju.Tidak boleh toleh belakang. Ujian Allah SWT besar. Terima dengan sabar. Insya-Allah kita menang,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.


