POLIS sedang menyiasat seorang wanita warga asing yang membuat laporan palsu mendakwa dia disamun RM10,000 di hadapan sebuah hotel di Genting Highlands, semalam.
Wanita terbabit yang berusia 25 tahun sebelum itu membuat laporan polis kira-kira jam 10.30 malam mendakwa dia telah disamun oleh dua wanita warga asing kira-kira jam 5.30 petang hari yang sama di hadapan lif sebuah hotel di pusat peranginan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, bagaimanapun siasatan lanjut yang dilakukan polis mendapati kejadian samun yang dilaporkan itu tidak wujud.
“Berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita itu sebenarnya telah berjudi di sebuah pusat perjudian dan mengalami kerugian RM10,000.
“Dia kemudian membuat laporan polis palsu bagi mengelak daripada dimarahi teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaiham turut memberitahu, wanita terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri semasa siasatan dijalankan.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.
Jika sabit kesalahan, tambah beliau, suspek boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Zaiham berkata, wanita berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki pasport yang sah untuk masuk dan tinggal di Malaysia, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.


