Mayat mangsa kedua kes nelayan hilang ditemukan di Bengkalis, Indonesia

NELAYAN kedua yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut berhampiran Jeti Sungai Tongkang, Rengit di Batu Pahat Sabtu lalu akhirnya ditemukan lemas pagi ini berhampiran Pulau Bengkalis, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Zaini Zainal berkata, mayat Mohd Fazli Mesran, 41, ditemukan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia pada jam 9 pagi, kira-kira tujuh batu nautika timur laut Pulau Bengkalis.

Menurut beliau, mayat nelayan itu kemudian diserahkan kepada Maritim Malaysia sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Zon Batu Pahat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fazli dan rakannya, Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, dilaporkan hilang setelah mereka keluar untuk memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang, Jumaat lepas.

Mayat Mohd Saiful Azli dijumpai seorang nelayan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat di perairan Sarang Burung di perairan Batu Pahat semalam.

Mohamad Zaini dalam pada itu berkata, berikutan penemuan terbaharu itu, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan selepas mangsa kedua berjaya dijumpai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, proses pengecaman fizikal mayat telah dilakukan dan sampel padanan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dengan waris terdekat akan diambil untuk pengesahan identiti secara rasmi.

Beliau berkata, ia susulan pengecaman mayat oleh isteri mangsa di HSNI hanya mengenal pasti pakaian mangsa, tetapi tidak dapat mengesahkan melalui pengecaman fizikal mayat.

“Proses bedah siasat akan dijalankan esok dan siasatan polis adalah berdasarkan kematian mengejut (SDR),” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img