‘’Bersatu jangan terbuai dengan nostalgia’’ – Hamzah

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu jangan terbuai dengan nostalgia kerana politik abad ke-21  menuntut untuk senantiasa mencipta kejayaan masa hadapan.

Sehubungan itu tegas beliau, Bersatu perlu dinamik, ada  kekuatan moral yang menjadi kompas kepimpinan dan kekuatan yang akan memberi keyakinan kepada rakyat.

‘’ Bersatu juga mesti ada kelestarian yang bersendikan kebitaraan. Sebagai panduan untuk beroleh keredaan kita sentiasa menghayati epistemology tawhidik. Kita perlu bina jati diri perjuangan atas semangat nasionalis yang inklusif bagi membina sebuah negara bangsa,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Timbalan Presiden Bersatu bertajuk ‘Menjunjung Amanah, Memperkasa Ummah’ di Perasmian Sayap-Sayap Bersatu Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 di Shah Alam hari ini.

Hamzah seterusnya menggariskan tiga sikap yang perlu ada kepada pemimpin dan ahli parti itu dalam perjuangan sebagai nakhoda zaman iaitu  pertama berpegang kepada idealisme parti iaitu Inklusif, Moderate, Demokratik, Integriti dan Prihatin.

‘’Kedua, perlu tangkas, bingkas dan cerdas. Kita perlu berani mencabar kelaziman dan kreatif melakar pembaharuan dan ketiga,  perlu ‘resilience’ dalam perjuangan tambahan pula kita pembangkang.

‘’Kita tidak boleh menyerah, tidak boleh berputus asa, tidak boleh tunduk kepada apa jua keadaan. Sama ada dalaman mahupun luaran. Insya-Allah, apabila semua ini menjadi kenyataan, rakyat akan memberi kepercayaan, dan Bersatu serta Perikatan Nasional,  akan kembali memimpin negara.  Apabila kita kembali berkuasa, kita akan mengangkat negara ini ke mercu kegemilangan, dunia dan akhirat,’’ katanya.

Beliau menegaskan, bagi tujuan itu setiap pemimpin dan ahli Bersatu mesti menyemat roh perjuangan yang sentiasa menyala, berakar umbi dengan nilai-nilai murni, berdaya tahan, ikhlas dan menjunjung keimanan, kebenaran dan keadilan.

‘’(Oleh itu), setiap daripada kita mesti berbuat sesuatu tidak boleh ada di antara kita yang diam membisu, setiap daripada kita mesti bersuara dan setiap daripada kita mesti menjadi jadi juara denyut nadi dan hati nurani rakyat,’’ katanya yang turut mengingatkan supaya ahli parti itu tidak membawa budaya boleh rosakkan Bersatu seperti penyebaran surat layang.

Hamzah turut menegaskan, Bersatu tidak boleh terperangkap dengan masa depan yang tidak menentu, tidak boleh mengikut rentak yang ditentukan orang lain sebaliknya Bersatu mestilah tampil menentukan acuan dan haluan politik abad ke-21

‘’Politik abad ke-21 menuntut kepada pembaharuan, keterbukaan, keberanian dan relevensi terhadap aspirasi terkini rakyat,’’ katanya.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) Hamzah mengingatkan ahli-ahli Bersatu bahawa pilihan raya itu bukan sekadar hanya satu lagi pilihan raya sebaliknya ‘monumental’ yang akan menentukan nasib negara.

‘’Jika salah memilih pemimpin…akan ranap, musnah, hancur berkecailah segala susah payah, jerit perih yang selama ini ditumpah untuk mendaulatkan maruah,’’ katanya.

Beliau berkata, sudah banyak kerosakan yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada tetapi malangnya tidak ada parti dalam kerajaan yang berani mencegah.

‘’Yang mereka tahu mengalah dan terus mengalah! Sudah masanya kita lakukan perubahan. Kita mulakan di Sabah. Kita Kasi Bagus Sabah. Tahun depan kita tawan Melaka dan menang di Johor. Insya-Allah rakyat bersama kita,’’ katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img