Tahun 2026, tahun baharu, dentuman politik tanah air

SIAPA sangka, tahun 2018, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14, buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO tumbang. Tiada pilihan, UMNO kembali berjinak-jinak dengan Pas dalam blok pembangkang.

Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 melaksanakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berjaya mereka halang, dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Siapa sangka, akhirnya UMNO dan Pas setuju, entah buat berapa kalinya, membentu  pemuafakatan, dengan jenama Muafakat Nasional (MN).

Belum pun ke mana, mereka sudah bertelagah. MN hanya tinggal sebagai NGO yang UMNO dan Pas sendiri tidak sedar ia telah didaftarkan sebagai sebuah NGO. Siapa sangka, sebagai sambutan tahun 2021, politik tanah air berdentum lagi.

Tatkala rakyat sedang terpinga-pinga diserang wabak Covid-19, satu lagi wabak menyerang mereka, iaitu wabak pertukaran kerajaan. Belum pun sempat bermesra dengan corak kepimpinan Kerajaan PH 1.0, negara dipimpin pula oleh Kerajaan PN, sebuah kerajaan campuran yang aneh.

Bersatu dan Pas membentuk Perikatan Nasional (PN). Tak cukup
kuat membentuk kerajaan, mereka curi beberapa pemimpin UMNO menyertainya. UMNO sebagai sebuah parti, dalam kerajaan pun tidak, sebagai pembangkang pun tidak.

Siapa sangka, kerajaan yang hampir 100 peratus diterajui orang Melayu, mengaku diri mereka semuanya berkeperibadian sebagai ASWJ, gagal membina pemuafakatan sesama mereka, bertelagah siang malam, sesama sendiri. Akhirnya, mereka bubarkan kerajaan PN yang
dibentuknya melalui proses ‘tebuk atap’.

Siapa sangka, hasil PRU15 pada November 2022, BN diterajui UMNO dan PH diterajui DAP, yang berseteru sekian lama, boleh duduk semeja, membentuk Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani.

Perikatan Nasional yang 100 peratus Melayu, enggan bekerjasama dengan
UMNO yang juga 100 peratus Melayu. Salah siapa?

Siapa sangka, Kerajaan Madani dapat bertahan lebih tiga tahun. Jangka hayat itu jauh lebih panjang berbanding Kerajaan PH 1.0 (22 bulan), Kerajaan PN (17 bulan) dan Kerajaan MOU (kurang setahun) daripada UMNO yang bukan mewakili UMNO.

UMNO juga mampu bertahan dan memekakkan telinga dengan tohmahan dilabel sebagai UMDAP. Setidak-tidaknya bagi UMNO, jenama itu jauh lebih jelas keberhasilannya berbanding jenama UM/Pas yang tiada siapa dapat buktikan keberhasilannya.

Pun begitu, menyambut kedatangan tahun 2026, lanskap politik tanah air semakin lancar. PN yang menguasai 4 negeri tiba-tiba terdengar dentuman di sana sini.

Tahun 2026 mereka sambut dengan dentuman politik yang kuat. Perlis, negeri terkecil di antara empat negeri dikuasai PN, sudah bergolak. Seratus peratus kepimpinannya adalah orang Melayu yang mengaku mereka berkeperipadian sebagai ASWJ. Terguling Menteri
Besarnya.

Tersingkir tiga ADUN daripada parti Pas yang miliki kerusi majoriti di DUN
Perlis. Maka berseterulah di antara Bersatu dengan Pas, dua sekutu utama dalam PN.

Maka terbuktilah sekali lagi yang bila kepimpinan sesebuah kerajaan diterajui 100 peratus orang Melayu, ia tidak akan stabil.

Sebabnya, keutamaan pemimpin Melayu, ialah bertelagah sesama sendiri dan menjatuhkan antara satu sama lain. Mereka tidak pedulikan
agenda kesejahteraan rakyat atau pun kemakmuran negeri/negara. Itu bukan agenda mereka.

Dalam komponen dalam Kerajaan Madani juga dentuman politik di sana sini adalah lumrah. Mereka bersama sekadar ‘unity of convenience’ semata-mata.

Isu penghakiman terhadap Datuk Sri Najib Razak dijadikan penyebab untuk dentuman dimulakan dalam kalangan ‘seteru dalam selimut’ dalam Kerajaan Madani.

Dentuman itu bersahut- sahutan. Makin lama makin kuat dentuman yang kedengaran.

Apabila Pemuda UMNO membuat dentuman kuat menerusi Konvensyen Pemuda UMNO pada 3 Januari 2026, yang dianjurkan dengan ehsan Presidennya, bermulalah pesta dentuman politik menyambut kedatangan tahun baharu, tahun 2026.

Dr Akmal Salleh menerajui dan mengurus konvensyen itu dengan penuh kebijaksanaan. Dalam dewan konvensyen semuanya berjalan mengikut tertib.

Yang kecoh ialah di luar dewan konvensyen. Yang lebih kecoh ialah dalam kalangan orang Melayu sendiri, baik dalam mahupun di luar UMNO.
Setidak-tidaknya, Dr Akmal berjaya menjentik keinginan DAP, iaitu seteru dalam selimut kepada UMNO, untuk memberikan reaksi dengan dentuman politik yang lagi kuat.

Pengerusi DAP Melaka, orang senegeri Dr Akmal, paling kuat melenting, seraya mengugut untuk DAP berjuang solo. Dengan angkuhnya Khoo Poey Tiong, Pengerusi DAP Melaka, menyalak konon katanya DAP lebih rela berjuang solo.

DAP sudah biasa sebagai pembangkang katanya, hatta tak hairankan jawatan menteri, exco dan apa juga. Bagus salakan Mr Khoo itu. Salakan itu disambut oleh Setiausaha Kehormat DAP yang merasmikan persidangan itu, Mr Anthony Loke.

Di sini kita nampak jelas bezanya budaya politik orang Melayu, baik di dalam atau di luar UMNO, berbanding dengan budaya politik DAP. Dalam kalangan mereka, tiada siapa pun yang tibai salakan Mr Khoo itu, tidak seperti apa yang diterima oleh Dr Akmal.

Rumusan yang saya nak buat ialah budaya politik orang Melayu lebih
menjurus kepada tikam menikam belakang, membuka pekung di dada dan saling jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Tetapi, pada masa yang sama bernafsu besar hendak meletakkan semua institusi politik Melayu di bawah satu Payung Besar.

Hari ini mereka ajak bersatu, esok mereka tibai parti yang diajaknya bersatu. Itulah dentuman yang kita dengar saban hari dalam kalangan pemimpin politik orang Melayu.

Hendaknya ada lebih ramai pemimpin muda seberani Dr Akmal. Hendaknya ada lebih ramai pemimpin DAP secelupar Mr Khoo. Hendaknya DAP benar-benar meninggalkan Kerajaan Madani.

Elok sangatlah DAP benar-benar menunjukkan taringnya sebagai seteru dalam selimut kepada UMNO, dalam Kerajaan Madani. Bukan Mr Khoo dan Mr Loke saja berperwatakan begitu dalam DAP. Ada ramai lagi yang sentiasa mencucuk ibarat duri dalam daging.

Hendaknya DAP cakap serupa bikin. Hendaknya DAP benar-benar berundur daripada Kerajaan Madani. Hendaknya UMNO dapat jenama baharu. Hendaknya dengan hanya tinggal UMNO, PKR, Amanah dan GPS serta kemasukan Warisan atau GRS mewakili orang Sabah, Kerajaan Madani mampu bertahan untuk setidak-tidaknya selama dua penggal.

Selepas itu kita lihatlah siapa bakal dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hendaknya semua menteri UMNO dalam Kerajaan Madani akan lebih signifikan peranan dan sumbangannya kepada kelangsungan kuasa politik Melayu, bukan sekadar cemerlang sebagai menteri semata-mata.

*Penulis adalah  Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img