Baju lokap: Albert Tei saman SPRM, kes rasuahnya dipindah ke Mahkamah KL

AHLI perniagaan, Albert Tei memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan beliau dipaksa memakai baju lokap berwarna jingga semasa dalam siasatan.

Albert turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan kerajaan dalam samannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Peguam kepada Albert, N Surendran berkata, tindakan SPRM itu tidak wajar kerana anak guamnya belum terbukti dan disabitkan bersalah oleh mahkamah.

“Malah ketika saya menjadi Ahli Parlimen lapan tahun lalu, saya pernah membangkitkan isu di mana seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Atas kuasa mana, undang-undang mana orang yang hanya ditangkap masih disiasat, orang biasa dipaksa memakai baju lokap oren (jingga),” katanya dalam sidang media selepas prosiding kesnya hari ini, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan berkenaan turut memalukan anak guamnya.

“Gambarnya dirakam dan disebarkan di internet, media dan televisyen. Apa akan berlaku jika akhirnya mahkamah bebaskan?. Adakah maruah yang tercalar itu boleh dipulihkan semula?,” katanya.

Sementara itu, Albert mendakwa dia dipaksa memakai baju-T berwarna jingga tertera perkataan lokap selain digari dan dibawa ke beberapa lokasi.

“Dengan pakaian sama, saya dibawa ke beberapa tempat dan dilihat oleh ramai orang. Apakah niat SPRM? Tindakan ini jelas bertujuan menimbulkan prejudis terhadap saya di mata masyarakat,” katanya.

Beliau turut mendakwa SPRM menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah dan mencabar agensi itu menjelaskan asas undang-undang amalan berkenaan, termasuk mendedahkan statistik individu yang ditahan, dipakaikan baju lokap jingga dan kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 13 Mac depan bagi sebutan semula kes rasuahnya.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Rosli Ahmad membenarkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindah di mahkamah ini dan ketika dibacakan semula pertuduhan itu, Albert kekal mengaku tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Albert didakwa memberikan suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img