PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Pemuda UMNO termasuk Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh supaya meraikan perbezaan pandangan dan berdepan kritikan walaupun tidak sehaluan.
Katanya, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO dan kebiasaannya Pemuda mesti mempunyai idealisme berbeza.
‘’Tetapi kalau pandangan atau komen berbeza, kita mesti terima itu sebagai perbezaan pendapat. Bila orang kritik kita, kita kena terima. Kenapa bila orang kritik, kita kata orang itu tidak demokratik, tak terima hakikat, kalau orang tak setuju dengan kita, mula kita mahu cari jalan singkat.

“Jangan begitu, ini perjuangan politik, kita terima dalam politik ini bukan semua orang bersetuju dengan kita. Kalau tak setuju, tangani ketidaksetujuan itu dengan penjelasan, bukan dengan tindakan lain,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Petaling Jaya.
Semalam Akmal memberi bayangan mengundur diri tanpa memberi sebarang alasan sehingga mewujudkan spekulasi beliau akan meletakkan jawatan.
ADUN Merlimau itu menerima kritikan bukan sahaja daripada Pemuda DAP tetapi juga dalam kalangan UMNO sendiri berhubung cadangan beliau supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid seterusnya berkata, beliau pernah jatuh tersungkur semasa memegang jawatan Pemuda.
“Saya tidak tuju kepada beliau (Akmal) sahaja, tetapi secara umum mana-mana pemimpin Pemuda dalam parti mesti ada idealisme.
“Soal saranan itu diterima atau tidak, idealisme tetap diperjuangkan. Saya juga pernah berlanggar gunung, pernah terpijak kulit pisang, tersungkur tetapi ketersungkuran itu tidak menyebabkan kita tak boleh bangun semula,’’ katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah terfikir Dr Akmal Saleh akan melepaskan jawatan ketua Pemuda walaupun berbeza pendirian dengan parti.
Katanya, beliau juga belum memikirkan sama ada mahu menerima atau menolak peletakan jawatan Akmal, jika permohonan dikemukakan.
“Saya tak pernah fikirkan perkara itu,” katanya


