”Saya masih mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Kalau sudah tak mampu, saya tidak boleh duduk situ dan rosakkan parti saya”.
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, soal penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN) tidak berbangkit kerana gabungan itu tidak boleh mempunyai dua badan kepimpinan.
Pengerusi PN itu berkata, cadangan memang ada namun status qou dari segi mentadbir perikatan itu tidak berubah.
“Majlis tertinggi masih kekal. Jadi soal majlis eksekutif tak berbangkit. Dia takkan ada majlis eksekutif dan majlis tertinggi. Tak boleh.
“Pasal walaupun ada cadangan, nampaknya tak ada perubahan. Kekallah dengan kedudukan majlis tertinggi di mana semua presiden parti duduk bersama-sama,” kata Muhyiddin dalam wawancara dengan portal berita Malaysia Gazette.
Beliau juga menafikan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi PN, Datuk Ser Hamzah Zainudin.
“Itu tidak betul,” katanya.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata gabungan itu bersetuju dengan cadangan daripada Pas untuk membentuk majlis presiden, yang bertujuan mengukuhkan PN.
“Majlis Presiden akan dianggap sebagai titik rujukan terakhir untuk menyelesaikan isu dalam gabungan itu. Ini termasuk pertikaian seperti perebutan antara parti komponen mengenai peruntukan kerusi semasa pilihan raya.
“Bila rundingan kerusi, maklumlah tiap-tiap parti tak nak bagi sama-mana. Lepas itu tak apalah, ada beberapa kita tinggal tiga, empat kerusi (yang belum selesai rundingan). Ini kita serahkan kepada empat presiden putuskan,” katanya.
Mengenai Kesihatan, Presiden Bersatu itu menolak spekulasi beliau mungkin tidak mampu memikul tanggungjawab menerajui parti itu atas faktor kesihatan.
“Cuba tanya berapa kali mesyuarat, majlis mahupun program parti. Ada bukti saya gagal atau tidak boleh hadir?
“Saya masih mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya. Kalau sudah tak mampu, saya tidak boleh duduk situ dan rosakkan parti saya,” katanya.
Bekas perdana menteri berkata, individu yang berhasrat mengambil alih jawatannya perlu berbuat demikian mengikut undang-undang.
Muhyiddin berkata, Bersatu adalah parti yang beliau bina bagaimanapun tiada masalah kalau sesiapa mahu mengambilnya tetapi perlu patuhi undang-undang.
“Ini parti yang saya bina. Tiada masalah kalau nak ambil, tapi kena ikut undang-undang. Apa yang luar biasa nak merebut-rebut,” katanya


