PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan bekas bintang bola sepak Jerman dan Arsenal, Mesut Ozil, dalam satu pertemuan di Istanbul.
Anwar berkata, pertemuan itu membuka ruang untuk beliau berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan dengan Ozil mengenai pelbagai isu semasa, termasuk perkara berkaitan kepentingan umat Islam dan situasi kemanusiaan di Gaza.
“Saya selaku penyokong Manchester United berkesempatan menerima kunjungan bekas bintang Arsenal, Mesut Ozil, di Istanbul. Beliau kini terbabit secara aktif dalam AK Party Republik Turkiye,” katanya dalam satu kenyataan.
Katany, Ozil turut menunjukkan komitmen berterusan dalam pelbagai inisiatif kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
“Sebagai selingan santai, perbualan kami turut menyentuh kisah cucu saya yang juga penyokong tegar The Gunners, yang mengundang senyuman beliau,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut mengambil kesempatan menjemput Ozil berkunjung ke Malaysia, khususnya bagi berkongsi pengalaman berkaitan bola sepak, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta peranan golongan muda dalam memperjuangkan keadilan dan solidariti sejagat.


