KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan untuk kembali mewujudkan semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk mengkaji keperluan sama ada perlu mengembalikan dua peperiksaan tersebut.

“Buat masa ini peperiksaan UPSR dan PT3 yang disebut itu masih berada dalam polemik masyarakat.
“Saya telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad untuk memberikan pandangan dan kepercayaan. Ahli-ahli majlis penasihat itu nanti akan membincangkannya,” katanya kepada media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2026 di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Peperiksaan UPSR dimansuhkan pada tahun 2021, manakala PT3 juga dibatalkan mulai tahun yang sama, sebelum dimansuh pada 2022 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Ketika ini ada desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan semula UPSR dan PT3 kerana mendakwa ketiadaan peperiksaan itu menyumbang kepada keciciran pelajar dalam peperiksaan tingkatan lima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada Oktober tahun lalu berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.
Fadhlina dalam pada itu berkata, pihaknya akan menyerahkan kepada Jemaah Menteri untuk membuat keputusan selepas kajian dibuat nanti.
Sementara itu, mengenai jangkaan kenaikan tambang bas sekolah, beliau berkata, perkara itu akan dibawa dibincangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Itu baru jangkaan. Saya akan bawa dan bincang dalam Jemaah Menteri nanti dan kita lihat secara keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan berlakunya kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi seperti insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.


