HEBOH hari ini apabila Datuk Dr.Akmal Saleh dikatakan menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan ADUN Merlimau di Melaka.
Malaysiakini melaporkan, menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO menerusi mesej WhatsApp semalam ketika masih berada di Shanghai, China.
“Apabila orang Melayu telah bersuara, dan parti telah membuat keputusan. Sebagai orang yang terlalu sayangkan parti ini, aku akur dengan keputusan parti, tetapi apalah makna pemimpin jika kita tidak menghormati suara mereka? Maka dengan penuh rendah diri aku rasakan bahawa aku perlu ambil tanggungjawab keseluruhan untuk parti yang kita sayangi ini.
“Maka insya-Allah, selepas aku balik dari Shanghai ini aku akan meletakkan semua jawatan dalam parti dan juga jawatan saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam grup WhatsApp itu.
Dalam mesej itu, Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan pemimpin Pemuda UMNO sambil merujuk kepada usahanya mendesak parti supaya keluar dari kerajaan – yang kemudiannya ditolak oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi.
“Aku mengambil tanggungjawab atas segala yang terjadi. Suara rakyat di bawah telah kita suarakan dan bawa ke peringkat tertinggi parti dengan satu tujuan iaitu untuk pastikan UMNO berada di hati setiap orang Melayu. Tapi kita tidak berjaya. Ini bukan salah sesiapa, tetapi aku ambil ini sebagai salah dan kelemahan diri aku sendiri,” katanya.
”Tidak benar. Malah, kami kini menuju ke Kinabatangan’’ – Bendahari Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin
BAGAIMANAPUN Setiausaha Pemuda UMNO , Faiz Ariifi menafikan Dr Akmal letak jawatan.
Hafiz berkata beliau sendiri sedang dalam perjalanan bersama Dr Akmal ke Kinabatangan, Sabah, bagi membantu jentera UMNO menghadapi pilihan raya kecil yang akan datang.
“Tidak benar. Malah, kami kini menuju ke Kinabatangan untuk proses penamaan calon esok bagi pilihan raya kecil tersebut,’’ katanya kepada Free Malaysia Today (FMT).


