Suspek kes letupan IED Nilai didakwa lima pertuduhan ketika dirawat di HTJ

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berkaitan bahan letupan buatan sendiri (IED) di Nilai, Negeri Sembilan pada 22 Disember lalu.

Yeoh Hock Sun, 63, membuat pengakuan itu semasa dia masih menjalani rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban hari ini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Bagaimanapun prosiding itu yang dijalankan di hospital terpaksa ditangguhkan selama 20 minit selepas tertuduh mengadu mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

Prosiding itu disambung semula selepas doktor mengesahkan Hock Sun berada dalam keadaan stabil.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki warga emas itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki.

Kesalahan itu dilakukan pada 22 Disember 2025, kira-kira jam 5.55 pagi di kawasan parkir Blok A, Pangsapuri Desa Palma, Nilai.

Hock Sun didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan lain, tertuduh didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh sama, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma, di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai.

Bagi kesalahan berkenaan, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Hock Sun turut didakwa mengikut pertuduhan kelima di bawah Seksyen 4 akta yang sama kerana menggunakan IED secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap Hock Sun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img