Tiada surat peletakan jawatan Akmal Saleh diterima setakat ini

UMNO tidak menerima surat peletakan jawatan Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagaimana yang diperkatakan ramai sejak kebelakangan ini.

Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada sebarang surat rasmi mengenai perkara tersebut diterimanya setakat ini.

Beliau berkata, kedudukan kepimpinan UMNO tidak berpandukan kepada spekulasi atau khabar angin yang berlegar dalam media sosial.

“Setakat ini tiada surat rasmi diterima. Sebagai Setiausaha Agung parti, UMNO tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar-legar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media khas sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.

Media sebelum ini mendakwa Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Dr Muhamad Akmal memaklumkan perkara tersebut kepada sekumpulan pemimpin sayap Pemuda menerusi pesanan ringkas dalam aplikasi WhatsApp semalam.

Sementara itu, Asyraf Wajdi secara peribadi menasihati Dr Muhamad Akmal untuk tidak mengambil hati dari sudut perbezaan pendapat kerana ia perkara biasa dalam tradisi berorganisasi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img