TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan daripada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Pengerusi PN bertarikh 30 Disember 2025, yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Sehubungan itu Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, di pihak mereka menghormati dan menerima keputusan yang diambil Muhyiddin serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang menerajui PN dalam tempoh sebelum ini.
‘’Justeru bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, maka saya sebagai Timbalan Pengerusi PN berpandangan, hendaklah disegerakan suatu panggilan Mesyuarat Tergempar MT PN bagi memenuhi keperluan Fasal 8.3(l)(b) Perlembagaan PN, iaitu menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN dan melantik Pengerusi PN yang baharu,’’ katanya,
Dalam surat kepada Timbalan-Timbalan Pengerusi dan Ahli Majlis PN, Abdul Hadi berkata, beliau berharap perkara itu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.
Surat Abdul Hadi itu dikeluarkan ketika tersebar khabar bahawa terdapat usaha-usaha oleh penyokong Muhyiddin untuk meminta bekas Perdana Menteri itu menarik balik peletakan jawatannya dan terus menerajui PN.
Bagaimanapun Pas sudah mengesahkan sebelum ini, parti itu akan menerajui PN dan salah seorang pemimpinnya akan dicadangkan sebagai Pengerusi BN. Setakat ini nama yang disebut-sebut untuk menduduki jawatan tersebut ialah Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Samsuri Mokhtar.
Namun difahamkan ada usaha digerakkan untuk menghalang beliau menerajui PN atas alasan, beliau hanya memegang jawatan Naib Presiden dan bukannya Presiden dalam Pas.
Peletakan jawatan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilakukan ketika hubungan parti itu dengan Pas ‘dingin’ selepas lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas di Perlis membuat akuan bersumpah menarik sokongan kepada Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar. Berikutan itu, ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dilantik menggantikan beliau.
Pas yang menggugurkan keahlian ketiga-tiga ADUN tersebut sehingga memungkinkan mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat menyifatkan apa yang dilakukan oleh Bersatu di Perlis sebagai pengkhianatan.
Pada masa sama Bersatu juga turut berhadapan konflik dalaman berikutan pertembungan antara kelompok pro Muhyiddin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Pemecatan dua Ahli Parlimen Bersatu iatu Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Datuk Seri Sariffudin Abdullah (Indera Mahkota) dikatakan ada kaiatn dengan konflik berkenaan.


