SEORANG pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipanggil sekali lagi hari ini untuk dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait siasatan berhubung dakwaan salah guna dana.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pegawai berkenaan dibenarkan meninggalkan ibu pejabat agensi itu tengah malam selepas lebih 12 jam disoal siasat.
“Beliau dijangka dipanggil semula pagi ini untuk sambung rakam keterangan,” katanya lapor FMT
Azam berkata pegawai tersebut hadir untuk disoal siasat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11 pagi semalam.
SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang pegawai tinggi ATM berusia 50an yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana yang dikhususkan untuk pembelian senjata.
Sebelum ini, siasatan SPRM terhadap dakwaan wujudnya kartel perolehan tentera membawa kepada penahanan bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Hafizuddeain Jantan serta dua isterinya.
Selain itu, SPRM turut menyiasat pemilik 26 syarikat yang mempunyai kaitan dengan kontrak perolehan tentera yang didakwa melibatkan pegawai kanan tentera terbabit.
Beberapa syarikat dikatakan telah berulang kali memperoleh kontrak bernilai tinggi sejak 2023 menerusi pemberian rasuah.


