SEORANG bekas pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan dana misi kemanusiaan, tujuh tahun lalu.
Mohd Hakim Mohd Nor, 39, membuat pengakuan terhadap dakwaan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas kesalahan tidak jujur menyalahgunakan harta pertubuhan berjumlah RM207,000 iaitu wang derma bagi misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin pada 27 Disember 2019.
Pendakwaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmaa’ Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff.
Asmaa’ Zamri memohon jaminan RM50,000 serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran kediaman pada awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Dalam hujahan mitigasi, peguam tertuduh memohon agar mahkamah mengenakan jaminan rendah memandangkan jumlah RM50,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi.
“Tertuduh perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah, bapa serta ibunya yang mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis selain isterinya bekerja sendiri dengan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.
“Tertuduh hanya diberitahu untuk hadir ke mahkamah pada minggu lepas dan hari ini beliau hadir di mahkamah seawal 8 pagi. Beliau juga telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan sejak 2025. Ini menunjukkan risiko untuknya melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan adalah sangat rendah.
“Selain itu, tertuduh hanya mampu membayar jaminan RM10,000 pada hari ini kerana perlu menyediakan wang jaminan yang lebih banyak memandangkan beliau akan dituduh esok dan lusa (Rabu) di Mahkamah Melaka serta Ipoh. Kami juga tidak membantah syarat tambahan yang dipohon pendakwaan, namun memohon tertuduh melapor diri pejabat SPRM Melaka,” katanya.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sebelum ini, pada 25 Jun lepas, media melaporkan SPRM mengenal pasti pengerusi sebuah NGO di Melaka merupakan suspek utama bagi penyelewengan dana yang diperoleh hasil sumbangan orang ramai.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, tangkapan lima individu melibatkan pengerusi, setiausaha, bendahari serta pengurus wang telah dibuat pihaknya.
Beliau berkata, sejumlah yang disyaki ialah RM26 juta dikesan dipindahkan daripada akaun NGO berkenaan kepada akaun individu yang disyaki dimasukkan kepada akaun pengerusi berkenaan.
Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang mengesan modus operandi menyeleweng dana itu yang hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah termasuk membeli mata wang kripto.


